BOLEH KE CABUT GIGI YANG SEDANG SAKIT?

Sharing is Caring

Sebelum memutuskan untuk mencabut gigi tersebut, kita kena faham dulu tentang kenapa gigi boleh menjadi sakit. Sakit gigi boleh disebabkan oleh beberapa faktor.

Faktor utama gigi sakit adalah disebabkan oleh gigi yang berlubang. Puncanya adalah kerana kurangnya penjagaan gigi yang optimum seperti kerap makan dan minum makanan yang manis dan tidak memberus gigi dengan teratur dan dengan cara yang tepat.

Gigi yang berlubang akan menyebabkan masuknya bakteria (kuman) ke dalam lapisan gigi. Lama kelamaan, lubang tersebut akan menjadi semakin dalam sehingga mengenai saraf yang berada di dalam gigi.

Dalam bahasa yang ringkas dan mudah difahami, gigi berlubang yang dibiarkan lama tanpa sebarang rawatan akan dapat mengakibatkan gusi di sekitar gigi tersebut bernanah. Nanah tersebut terhasil daripada reaksi imun tubuh melawan kuman yang masuk ke dalam gigi yang berlubang tersebut. Rasa sakit yang timbul pula disebabkan oleh kerana meningkatnya tekanan di dalam ruang gigi tersebut akibat berkumpulnya nanah pada bahagian bawah gigi.

Oleh sebab itu, gigi yang sedang sakit yang telah terbentuk nanah di bawahnya tidak dapat dilakukan cabutan segera kerana nanah yang berada di bawah gusi dapat menghalang ubat bius (ubat kebas) yang disuntik bekerja secara optimum.

Jadi apa yang perlu dilakukan?

Segeralah bertemu dengan doktor gigi untuk melakukan pemeriksaan bagi melihat keadaan gigi yang sedang sakit tersebut.

Jika gigi yang sedang sakit tersebut belum terbentuk nanah di bawahnya, biasanya cabutan boleh segera dilakukan pada hari tersebut.

Jika setelah pemeriksaan didapati nanah sudah terbentuk, biasanya doktor gigi akan memberikan ubat seperti ubat tahan sakit (painkiller) dan antibiotik tertentu untuk menghilangkan rasa sakit dan nanah yang ada.

Kemudian anda akan disuruh datang kembali dalam tempoh 5-7 hari setelah ubat (antibiotik) habis dimakan untuk dilakukan pencabutan gigi tersebut.

Untuk pengetahuan, antibiotik yang dibekalkan haruslah anda makan secara teratur sehingga habis bagi memastikan kuman dan nanah dapat ‘dibunuh’ secara optimum. Jika anda gagal makan antibiotik secara teratur sehingga habis, nanah tidak akan hilang dan cabutan gigi tidak dapat segera dilakukan.

Malah lebih buruk lagi, kuman-kuman tersebut akan berubah bentuk dan menjadi ‘kebal’ terhadap antibiotik yang sama sehingga jangkitan boleh menjadi lebih parah dan dose antibiotik yang lebih kuat diperlukan bagi mengatasi jangkitan kuman tersebut.

Segeralah berkunjung ke klinik gigi bagi menjalani pemeriksaan dan rawatan pergigian mulai hari ini. Jangan bertangguh!

Semoga bermanfaat!

Kredit : Dr Mohd Khairul Izwan


Sharing is Caring

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *