GIGI YANG BERLUBANG BOLEH MENJADI PUNCA MASALAH BAU MULUT!

Sharing is Caring

Tahukah anda, gigi yang berlubang boleh menjadi punca kepada masalah bau mulut?

Ini kerana, lubang yang terbentuk pada permukaan gigi akan memerangkap sisa makanan di dalamnya.

Sisa makanan yang terperangkap di dalam lubang ini pula kadang-kadang sukar dibersihkan walaupun kita memberus gigi dengan kerap setiap hari.

Kesannya, sisa makanan di dalam lubang tersebut akan menjadi tempat untuk bakteria membiak dan menghasilkan bau mulut yang tidak menyenangkan.

Selain daripada masalah bau mulut yang mengganggu, lubang yang tidak dirawat juga akan menyebabkan sakit gigi dan masalah jangkitan kuman di kemudian hari.

Rawatan untuk gigi berlubang yang belum melibatkan bahagian saraf gigi adalah dengan cara tampalan. Selain untuk mencegah masalah bau mulut, rawatan tampalan ini juga bagi mencegah lubang pada gigi anda menjadi semakin dalam sehingga menyebabkan gigi anda tidak lagi dapat diselamatkan.

Jika lubang yang telah terbentuk terlalu dalam sehingga melibatkan bahagian saraf gigi, maka gigi tersebut perlu dirawat melalui rawatan salur akar ataupun dicabut.

Memasuki tahun baru 2021 ini, pastikan anda menjalani pemeriksaan gigi di klinik gigi secara rutin ya. Kalau tak dapat 6 bulan sekali, sekurang-kurangnya setahun sekali pun sudah memadai.

Ini penting agar doktor gigi dapat mengesan sebarang kerosakan yang ada di dalam mulut anda sejak dari awal dan rawatan segera boleh dilakukan bagi menyelamatkan gigi anda.

Pastikan juga anda memberus gigi secara teratur dengan teknik yang betul menggunakan ubat gigi berfluorida sekurang-kurangnya 2 kali setiap hari.

Semoga bermanfaat!

“Anda jaga gigi, anda tidak rugi”.

Kredit : Dr Mohd Khairul Izwan


Sharing is Caring

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *