
Perubahan warna gigi adalah satu keadaan biasa yang boleh terjadi disebabkan pelbagai punca.
Perubahan warna gigi mungkin disebabkan oleh:
Intrinsik – Berpunca daripada sesuatu di dalam gigi atau tubuh anda.
Ekstrinsik – Disebabkan oleh sesuatu yang menyentuh gigi anda.
Berkaitan dengan usia – Perubahan yang berlaku disebabkan peningkatan umur.
PUNCA WARNA GIGI BERUBAH
Berikut adalah beberapa punca perubahan warna gigi:
1. Penggunaan tembakau
Tabiat merokok atau mengunyah tembakau boleh mengakibatkan gigi berubah warna.
2. Makanan atau minuman
Kopi, teh, minuman berkarbonat, wain serta sesetengah buah-buahan dan sayur-sayuran – seperti epal dan kentang – boleh mengotorkan gigi.
3. Amalan kebersihan gigi yang buruk
Tidak flos gigi, tidak memberus dan tidak membilas mulut dengan cukupnya untuk menyingkirkan plak dan kekotoran.
4. Ubat-ubatan
Pemberian antibiotik tetracycline dan doxycycline pada anak di bawah usia 8 tahun yang masih dalam proses tumbesaran gigi boleh menyebabkan ia berubah warna.
Ubat kumur yang mengandungi chlorhexidine dan cetylpyridium chloride juga boleh mengotorkan gigi.
Antihistamin, ubat antipsikotik dan ubat untuk tekanan darah tinggi juga penyebab gigi bertukar warna.
5. Masalah kesihatan
Punca kurang lazim perubahan warna gigi adalah penyakit yang menjejaskan enamel, atau rawatan penyakit tertentu, seperti kemoterapi dan/atau radiasi yang digunakan untuk merawat kanser. Dalam kes sebegini, perubahan warna adalah lebih kepada kecoklat-coklatan.
6. Bahan pergigian
Sesetengah bahan yang digunakan dalam rawatan pergigian, seperti pemulihan amalgam (amalgam restorations), terutamanya bahan yang mengandungi sulfida perak, boleh menjadi punca gigi menjadi kelabu-kehitaman.
7. Genetik
Terdapat sesetengah individu mempunyai enamel secara semula jadi lebih cerah atau lebih tebal berbanding yang lain.
8. Penuaan
Seiring pertambahan usia, lapisan luar enamel pada gigi akan hilang. Keadaan ini akan menampakkan warna semula jadi dentin.
9. Persekitaran
Fluorida berlebihan sama ada daripada sumber persekitaran – kadar fluorida tinggi secara semula jadi di dalam air – atau penggunaan berlebihan bahan atau produk dengan kandungan fluorida, boleh menyebabkan perubahan warna gigi.
10. Trauma
Sebagai contoh, kerosakan gigi yang disebabkan oleh kemalangan boleh mengganggu pembentukan enamel pada anak kecil semasa proses pertumbuhan gigi.
Trauma juga boleh menyebabkan gigi berubah warna bagi individu dewasa.