6 CARA ELAK MULUT BERBAU DI BULAN RAMADAN

Sharing is Caring

Bau mulut ketika puasa adalah perkara biasa, tetapi bau mulut juga boleh membuatkan kita berasa tidak selesa dan tidak yakin untuk berinteraksi dengan orang lain.

Jangan risau berikut adalah tip-tip yang dikongsikan oleh Dr. Kamarul Ariffin Nor Sadan untuk mencegah bau mulut di bulan Ramadan.

1. MINUM AIR SECUKUPNYA

Antara salah satu sebab mulut berbau adalah kerana kekeringan pada mukosa dalam mulut akibat kekurangan air semasa berpuasa. Maka semasa sahur hendaklah minum air kosong secukupnya, agar badan sentiasa terhidrat dan mulut tidak kering.

2. ELAKKAN MINUM KOPI ATAU TEH DI WAKTU SAHUR

Kopi dan teh adalah sejenis diuretik, iaitu bahan yang menggalakkan penghasilan air kencing. Jika kita minum teh dan kopi, maka kita akan hilang banyak air melalui air kencing. Ia boleh menyebabkan dehidrasi, dan secara tidak langsung menyumbang kepada mulut berbau.

3. KURANGKAN BERCAKAP

Kurangkan makan bawang dan membawang. Bawang putih dan merah adalah antara makanan yang boleh buat nafas berbau. Manakala, terlalu banyak bercakap(membawang) pula boleh menyebabkan kelembapan mulut mudah tersejat, lalu menyebabkan mulut menjadi kering dan berbau.

4. MAKAN KARBOHIDRAT SECUKUPNYA

Ada sesetengah orang cuba untuk mengurangkan berat badan secara intensif semasa bulan Ramadan. Mereka berpuasa dan tidak mengambil karbohidrat dan gula, dan ini memaksa tubuh mendapatkan tenaga secara ketosis. Keadaan ini menghasilkan ketones yang menyebabkan nafas berbau. Jadi, makanlah juga karbohidrat sikit ya!.

5. GOSOK GIGI DAN BERSIHKAN LIDAH

Antara penyumbang mulut berbau adalah kehadiran bakteria dalam mulut. Oleh itu, jangan lupa gosok gigi sebelum tidur dan selepas sahur. Gunakan juga floss untuk bersihkan sisa makanan di celahan gigi dan bersihkan lidah dengan memberusnya. Boleh juga guna larutan pembersih mulut.

6. PASTIKAN TIADA MASALAH MULUT DAN HIDUNG

Jika semua cara di atas telah diikhtiar tetapi mulut masih berbau, anda hendaklah berjumpa dengan doktor. Masalah pada hidung, sinus, gigi, gusi atau tonsil juga boleh menyebabkan mulut berbau. Biar doktor periksa ya!

Sumber: Kamarul Ariffin Nor Sadan


Sharing is Caring

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *