GUSI BERDARAH ADALAH PETANDA AWAL MASALAH GUSI!

Sharing is Caring

Gusi anda selalu berdarah semasa memberus gigi?

Gusi berdarah ketika memberus gigi memberikan isyarat atau merupakan petanda bahawa gusi anda berada dalam keadaan tidak sihat.

Masalah utama penyakit gusi adalah disebabkan oleh plak atau sisa makanan yang melekat pada permukaan gigi. Ianya lebih dikenal sebagai tahi gigi.

Sisa makanan yang dibiar tanpa dibersihkan untuk tempoh waktu yang lama akan menjadi tempat pembiakan kuman.

Semakin dibiarkan, plak yang asalnya lembut ini akan mulai mengeras dan membentuk pula karang gigi. Karang gigi akan mengakibatkan kuman semakin membiak dengan pesatnya.

Setiap individu mempunyai sistem pertahanan tubuh bagi melawan jangkitan kuman. Sel-sel pertahanan/imun ini diangkut melalui salur darah ke tempat terjadinya jangkitan kuman tersebut.

Semakin tebal karang gigi yang terbentuk dan semakin banyak kuman tersebut membiak, maka semakin banyak salur darah terbentuk di bahagian gusi kita untuk menyalurkan sel-sel imun badan bagi melawan kuman-kuman yang berada di sekitar gusi.

Akibatnya, gusi akan mudah menjadi berdarah apabila terkena tekanan dari berus gigi.

Oleh yang demikian, anda perlu menjalani rawatan scaling atau pencucian karang gigi ini sekurang-kurang 6 bulan ataupun paling lama setahun sekali. Kerana karang gigi tidak dapat dibersihkan dengan memberus gigi secara biasa, sebaliknya perlu dibuang menggunakan alatan khusus di klinik.

Biasanya orang ramai sering mengambil ringan tentang masalah gusi berdarah ini dan tidak segera mendapatkan rawatan di klinik gigi kerana tidak sakit.

Jika dibiarkan, anda akan terdedah kepada masalah gusi yang semakin parah yang boleh mengakibatkan gigi anda menjadi bergoyang dan kehilangan gigi di usia muda.

Mencegah lebih baik daripada mengubati.

Semoga bermanfaat!

Kredit : Dr Mohd Khairul Izwan


Sharing is Caring

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *