5 Cara Mudah Agar Gigi Kekal Sihat

Sharing is Caring

Kita perlu menjaga kebersihan gigi kerana kebersihan mulut yang lemah berkait rapat dengan penyakit kencing manis, penyakit jantung, komplikasi kehamilan, kehilangan gigi, penyakit gusi, dan sebagainya. Seseorang yang menjaga kebersihan mulut akan mempunyai senyuman yang menawan , gigi yang putih dan nafas yang segar. Mereka juga akan mempunyai tahap keyakinan diri yang tinggi untuk berhadapan atau berkomunikasi dengan orang ramai. Tetapi cukupkah sekadar memberus gigi 2 kali sehari dan menggunakan flos sekurang-kurangnya sekali sehari ? Jom ikut 5 cara ini untuk mendapatkan kesihatan gigi yang lebih baik.

Menjaga berus gigi

Penjagaan berus gigi adalah sangat penting kerana persekitaran berus gigi adalah tempat yang sesuai untuk bakteria hidup dan membiak. Selepas memberus gigi anda, anda perlu membilasnya dengan air, kemudian simpan di ruang yang terbuka dan pastikan berus gigi anda berkedudukan menegak. Dengan ini anda tidak perlu bimbang tentang mikroorganisma berbahaya kerana aliran udara boleh memastikan berus gigi anda kering sepanjang hari.

Menurut The American Dental Association, orang dewasa perlu menggantikan berus gigi tiga bulan sekali. Manakala ibu bapa perlu menukar berus gigi anak-anak mereka lebih awal. Jika berus gigi berserabut dan haus sebelum tempoh tiga bulan, anda digalakkan menukar yang baru serta-merta kerana berus gigi yang lama tidak  lagi berkesan dan berguna.

Menggunakan fluorida

Fluorida ialah mineral semula jadi yang boleh membuat enamel gigi anda lebih kuat dan sihat. Flourida membantu dalam mencegah karies gigi semasa proses remineralisasi dan demineralisasi. Fluorida boleh didapati dalam makanan dan air. Fluorida juga boleh digunakan ke atas gigi oleh individu sendiri melalui ubat gigi berfluorida dan bahan kumuran.

Memberus lidah dan bahagian dalam pipi

Lidah dan pipi anda adalah dua tempat yang bersentuhan dengan makanan, selain gigi dan gusi, jadi gula dan asid boleh melekat pada permukaannya. Membersihkan lidah dan pipi anda selepas  memberus gigi dapat menghapuskan sisa-sisa bakteria di dalam mulut anda, menjaga kesihatan gigi dan mencegah nafas berbau.

Elakkan minuman bergula

Seperti makanan, minuman juga boleh memberi kesan kepada kesihatan mulut anda. Minuman seperti minuman ringan, minuman tenaga, dan jus bergula mengandungi kandungan gula yang banyak. Pengambilan gula yang banyak boleh menyebabkan kerosakan gigi. Kita digalakkan minum lebih banyak air, susu dan jus segar untuk kesihatan yang lebih baik, senyuman yang menawan  dan kulit yang cantik.

Jumpa doktor gigi dengan kerap

Doktor gigi dapat membantu/memudahkan penjagaan gigi anda. Jangan tunggu ada kerosakan gigi, baru kita jumpa doktor gigi. Kita perlu membuat pemeriksaan mulut secara berkala . Mencegah adalah lebih baik daripada mengubati. Anda boleh tanya doktor gigi cara yang betul untuk menjaga mulut  supaya lebih bersih dan sihat. Berdasarkan status dan keperluan tertentu gigi anda, mereka boleh membantu untuk membuat pelan memberus setiap hari dan menggunakan flos yang sesuai untuk anda.

Kebersihan mulut tidak akan datang dengan sendiri, kita perlu memjaganya. Hampir semua kerosakan gigi dan penyakit gusi boleh dicegah dengan kebersihan mulut yang baik. Cuba tips ini dalam rutin penjagaan gigi anda dan lihat manfaatnya.


Sharing is Caring

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *