KENAPA GUSI BERWARNA GELAP ?

Sharing is Caring

Bagi kebanyakan individu, secara normalnya gusi mereka berwarna merah jambu atau disebut sebagai “coral pink”.
Namun tahukah anda, ada juga sesetengah individu mempunyai gusi yang berwarna lebih gelap ataupun sedikit kehitaman berbanding warna merah jambu?

Keadaan ini disebut sebagai “gingival hyperpigmentation”.
Secara ringkas, di dalam tubuh kita ada suatu bahan (disebut sebagai pigment) yang dihasilkan untuk memberikan warna kepada kulit kita.

Bahan ini disebut sebagai “melanin” dan dihasilkan oleh sel yang dinamakan sebagai melanocyte. Selain kulit, sel melanocyte ini juga terdapat pada tisu gusi.
Penghasilan melanin yang berlebihan boleh mempengaruhi warna tisu gusi dan membuatkan warna gusi menjadi lebih gelap daripada yang sepatutnya.

Penghasilan pigmen melanin yang berlebihan ini antara lain boleh dipengaruhi oleh faktor-faktor berikut:

  • Tabiat merokok (termasuk vape dan sisha).

  • Keturunan/genetik.

  • Pengambilan ubat-ubatan tertentu.

  • Gangguan kelenjar endokrin.

  • Endapan logam yang berasal daripada bahan tampalan serta makanan atau minuman yang tercemar.

  • Individu yang mempunyai sindrom tertentu seperti Albright’s syndrome, Peutz Jegher’s syndrome dan Addison’s disease.


Keadaan ini juga boleh dipengaruhi oleh warna kulit seseorang. Sebagai contoh, pada bangsa tertentu yang majoriti mempunyai warna kulit yang lebih gelap mempunyai kecenderungan untuk memiliki gingival hyperpigmentation ini.

Gingival hyperpigmentation ini adalah tidak berbahaya sama sekali, namun bagi individu yang mementingkan penampilan, maka keadaan ini kadang-kadang sedikit mengganggu dan boleh mempengaruhi keyakinan diri seseorang.

Rawatan untuk memperbaiki keadaan ini disebut sebagai “depigmentation”. Rawatan ini boleh dibuat secara pembedahan dan juga secara bukan pembedahan oleh doktor gigi ataupun pakar pergigian periodontal iaitu pakar yang berkaitan dengan gusi serta tisu pendukung gigi.

Jika anda merupakan salah seorang yang mempunyai masalah gingival hyperpigmentation ini dan rasa ianya mengganggu penampilan anda, anda bolehlah mendapatkan pemeriksaan lanjut di klinik gigi berhampiran. Jika perlu, kes anda akan dirujuk untuk konsultasi serta rawatan lanjut oleh pakar pergigian periodontal.

Namun apa yang lebih penting adalah pastikan anda menjaga kesihatan gusi anda dengan memastikan ianya bersih melalui cara:

  • Memberus gigi sekurang-kurangnya 2 kali setiap hari.

  • Menjalani pemeriksaan gigi serta rawatan scaling secara rutin setiap 6-12 bulan sekali di klinik gigi terdekat.

Kredit : Dr Mohd Khairul Izwan,


Sharing is Caring

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *