
Setelah sehari suntuk memakai pelitup, pernahkah anda terhidu bau busuk yang datang daripada mulut anda sendiri?
Selain menimbulkan rasa malu, nafas yang berbau pula mungkin tanda-tanda penyakit dan keadaan kesihatan yang serius.
Namun, sebelum anda mula berasa cemas, ketahui dahulu kenapa nafas anda berbau dan apa yang boleh anda lakukan.

Anda makan atau minum sesuatu yang berbau
Kopi, bawang putih, ikan, telur, bawang merah, makanan pedas – ini adalah senarai makanan kegemaran ramai yang menyebabkan nafas berbau, disebabkan oleh bahan sulfida yang dihasilkan.
Anda boleh mengunyah gula-gula getah atau pudina bagi menghilangkan bau itu buat sementara. Namun, bau busuk daripada makanan dapat terus melekat sehingga makanan itu dihadam, meskipun jika anda menggosok gigi.
Menurut Akademi Pergigian Am, kandungan ‘allyl methyl sulfide’ dalam kopi, bawang merah dan bawang putih kekal dalam aliran darah anda dan dikeluarkan menerusi nafas anda sehingga tempoh 72 jam selepas ia dimakan.
Bagi menanganinya, anda boleh memakan makanan seperti limau, pasli, sayuran dan buah-buahan rangup seperti epal dan lobak merah yang merangsang penghasilan air liur yang dapat membersihkan segala cebisan makanan yang terselit pada celah-celah gigi anda.
Selain itu, meminum air juga berkesan bagi mengurangkan bau busuk dalam mulut. Namun, elakkan daripada mengambil minuman mengandungi kafein kerana ia memperlahankan penghasilan air liur.

Anda merokok
Jika anda seorang perokok, anda mungkin tidak tahu bagaimana bau rokok melekat pada pakaian dan barangan terutama sekali nafas anda. Menghidu wap yang panas menjejaskan kebolehan deria bau dan rasa anda.
Pastinya, udara panas juga akan mengeringkan mulut. Kehilangan bekalan air liur yang digabungkan dengan bau tembakau, menghasilkan “nafas perokok” yang lazim dikenali ramai.
Penyelesaiannya? Anda pasti sudah tahu apa yang perlu anda lakukan.

Anda tidak gosok gigi dengan betul
Penjagaan kebersihan gigi yang tidak betul adalah punca utama nafas berbau. Apabila cebisan makanan terselit antara gigi dan gusi anda, bakteria mula menyerangnya dan ia menghasilkan gas yang berbau seperti telur busuk atau lebih teruk lagi (ada yang seperti najis).
Apa yang anda boleh lakukan?
Satu cara yang boleh anda ketahui jika nafas anda berbau, menurut para doktor gigi, adalah untuk flos gigi anda dan hidu benang flos tersebut. Jika ia berbau busuk, ini bermakna nafas anda pastinya berbau.
Namun, tidak perlu bimbang kerana masalah ini dapat diselesaikan dengan mudah. Anda hanya perlu menggosok gigi menggunakan ubat gigi fluorida dua kali sehari dan flos gigi dengan kerap.
Semasa menggosok gigi, pastikan anda juga menggosok lidah dan bahagian dalam pipi anda. Menurut kajian, menggosok bahagian itu dapat mengurangkan jumlah bakteria yang bersarang dalam mulut anda.
Penggunaan ubat kumur dan gula-gula getah pula hanya menyelindung buat sementara bau busuk nafas anda dan kedua-duanya juga tidak mengurangkan jumlah bakteria dalam mulut anda, menurut para doktor gigi.

Anda bernafas melalui mulut
Setelah anda bangun tidur, pastinya anda terhidu bau nafas yang busuk. Ini meskipun setelah anda menggosok gigi dan flos gigi sebelum anda tidur pada hari sebelumnya. Bau nafas yang busuk berlaku kerana tubuh kita kurang menghasilkan air liur semasa kita tidur.
Bernafas melalui mulut atau berdengkur, seperti sindrom apnea tidur, menyebabkan mulut kita menjadi lebih kering sekali gus membuat nafas lebih berbau busuk. Diberi nama xerostomia, keadaan mulut kering bukan hanya tidak menyenangkan tetapi juga mungkin berbahaya.
Ia boleh menyebabkan sakit tekak, suara serak, sukar bercakap dan menelan, masalah memakai pendakap gigi dan mungkin menyebabkan perubahan pada deria rasa.
Untuk menanganinya, cari penyelesaian bagi masalah pernafasan melalui mulut dan juga mengamalkan minum air yang banyak dan menjaga kebersihan gigi pada waktu pagi dan malam.

Anda makan terlalu banyak gula
Satu lagi punca mulut berbau disebabkan oleh tabiat memakan gula berlebihan. Menurut para doktor gigi, gula-gula yang liat seperti gula-gula getah dan karamel adalah dalang utama yang menyebabkan mulut berbau.
Namun, jika anda masih kempunan memakan gula-gula, para doktor gigi mencadangkan untuk memakan coklat biasa kerana ia mengandungi kurang gula berbanding gula-gula lain dan ia mudah larut dalam mulut.

Hidung anda tersumbat atau anda mengalami alahan
Anda mempunyai jangkitan sinus yang kronik? Penyakit pernafasan? Sedang hidung anda tersumbat, anda lebih berkemungkinan bernafas melalui mulut sekali gus mengurangkan aliran air liur.
Jika anda mengalami alahan pula, penggunaan ubat antialahan juga boleh menyebabkan nafas berbau. Kebanyakan daripada preskripsi dan ubat yang digunakan untuk menangani selesema dan alahan mengeringkan lebih daripada hidung anda.
Penggunaan titisan ubat selesema juga menyebabkan nafas berbau apabila ia tersangkut pada belakang lidah, yang paling sukar dibersihkan menggunakan ubat gigi.
Justeru, para doktor gigi menyarankan menggosok bahagian belakang lidah menggunakan pengikis yang direka khas bagi tujuan itu dan berkumur-kumur menggunakan ubat kumur yang mengandungi klorin dioksida.